Friday 29 September 2017

Mee kari ipoh versi derhaka....erkkk...

Mee kari merupakan menu kegemaran sekeluarga. Sudah beberapa kali membuatnya tapi tak berkesempatan untuk mengupdate di sini. Apa beza mee kari ipoh dan mee kari yang selalu kita makan tu??
Bezanya cuma dengan penggunaan ikan bilis tamban atau ikan temenung kecil yang direbus dan diambil airnya sebagai bahan kuah. Mee kari ipoh juga hanya menggunakan aneka fish ball, fish cake, tauhu kering sebagai bahan rencah sampingan selain sayuran seperti taugeh.
Emmm...sebab tu namanya edisi derhaka, akak tambah ayam sebagai lauk dan juga telur. Puas mencari kerang kat pasar, tak ada pula hari ni, so mee kari ni tanpa kerang. Kalau ada kerang lagi terangkat.
Ada tauge, sayur sawi celur, kacang panjang, daun pudina sebagai pelengkap hidangan.

Bahan untuk kuah:
200g ikan bilis tamban/temenung.
2 senduk cili kering kisar.
6 sudu besar rempah kari daging.
6 batang serai.
Segenggam ikan bilis basuh, toskan.
2 labu bawang besar.
6 ulas bawang putih.
6 ulas bawang merah kecil.
Rempah tumis ( 4 beradik ).
Daun kari 3 tangkai.
Santan 1/2 kilo.
Air, garam, gula dan bahan perasa.
Minyak untuk menumis.

Ikan temenung kecil ini dibasuh bersih dan direbus sehingga lembut.( 40 minit )

Proses merebus. Pastikan air yang mencukupi kerana air rebusan ini yang akan diambil untuk penyediaan kuah mee kari nanti.
Ikan ini boleh direbus berulang untuk mendapatkan rasa yang dikehendaki pada kuah mee kari ini. Ini terpulang kepada setiap individu.

Ikan bilis. Kalau ada ikan bilis nasi yang putih tu lagi sedap.

Caranya:
Ikan bilis, bawang besar, bawang putih, serai bahagian yang lembut dimesin.
Bawang merah kecil dihiris. Tumis bawang merah dan rempah tumis tadi. Letak daun kari, serai yang dititik biar wangi, masukkan bahan2 mesin. Masak seketika.
Masukkan cili kisar dan serbuk kari. Masak sampai pecah minyak dan garing.
Masukkan air rebusan ikan tadi. Letakkan aneka fish ball dan fish cake, tauhu, ayam dan biar mendidih.
Masukkan santan dan sesuaikan rasa. Jika masih tak menepati rasa yang dikehendaki, boleh merebus semula ikan bilis tadi dan masukkan airnya sahaja. Isi ikan bilis ini tidak boleh dimesin untuk diambil isinya bagai sebab kuah nanti akan rasa pahit. Cukup sekadar dengan air rebusannya saja. Waktu ini akak masukkan segenggam daun pudina dari laman dan kacang panjang. Tutup api.

Bahan hidangan:
Mee kuning, celur dan toskan.
Taugeh mentah atau dicelur.
Telur rebus dibelah.
Bawang goreng.
Daun pudina / daun bawang.
Sawi celur untuk yang suka sayuran.
Cili kicap untuk yang suka pedas.


Bahan2 untuk ditumis dan dimesin.

Fish cake dan fish ball.

Kuah yang telah siap.

Cadangan hidangan. Isi ayam yang dicarik- carik, daun pudina, telur, sawi, taugeh...bawang goreng mana?? Lupa lagii..

Siap bersama kuah. Kalau ada sambal kerang atau sotong tentu lebih menarik.

Nota:
Mee kari ini akak campur santan fresh dan sekotak kecil santan kara. Boleh letak kiub ikan bilis untuk menambah rasa sebab akak tak guna ajinomoto.
Rencah yang kita tumis sehingga garing tadi boleh diambil sesenduk besar sebagai cili sampingan semasa makan nanti. Jika tidak boleh saja buat cili potong bersama kicap untuk yang suka pedas.
Jika ada sambal kerang atau sambal sotong boleh dimakan bersama mee kari ini. Yummy...
Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment